Itali terima obor Olimpik Milano-Cortina, larian 63 hari bermula 6 Disember

ATHENS, 5 Disember – Itali secara rasmi menerima obor Olimpik untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina 2026 dalam satu majlis ringkas di Stadium Panathenaic, Athens.

Ketua penganjur, Giovanni Malago berkata penerimaan obor itu menandakan bermulanya perjalanan simbolik selama 63 hari bagi menyemarakkan sambutan temasya. Itali kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2006 di Turin.

“Itali berbangga dengan warisan Olimpiknya,” kata Malago sambil menyifatkan kepulangan obor selepas dua dekad sebagai detik penting.

Antara pembawa obor terakhir di Greece ialah juara tenis beregu Olimpik, Jasmine Paolini, yang membawa api Olimpik memasuki Stadium Panathenaic selepas larian sembilan hari di Greece sejak penyalaan di Olympia pada 26 November.

Obor itu dijadual berlepas ke Rome sebelum memulakan larian domestik sejauh 12,000 kilometer dari Stadio dei Marmi pada 6 Disember.

Larian tersebut akan merentasi semua 20 wilayah dan 110 wilayah pentadbiran Itali, melalui 60 bandar dan 300 pekan, dengan penyertaan 10,001 pembawa obor.

Perjalanan obor turut merangkumi mercu tanda ikonik seperti Colosseum di Rome dan Grand Canal di Venice, serta singgah di bandar-bandar selatan seperti Palermo dan Naples.

Obor Olimpik dijangka tiba di Cortina D’Ampezzo pada 26 Januari, sebelum menamatkan perjalanan pada upacara pembukaan temasya di Stadium San Siro, Milan pada 6 Februari. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.