SANT JOAN DESPI, 8 Disember – Ketua jurulatih Barcelona, Hansi Flick pada Isnin menegaskan bahawa pasukannya perlu mempamerkan antara prestasi terbaik musim ini bagi mengatasi cabaran Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara-Juara.
Flick turut memaklumkan bahawa penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen berkemungkinan kembali beraksi selepas masih belum membuat penampilan musim ini.
Pemain Jerman itu menjalani pembedahan belakang dan terlepas hampir keseluruhan musim lalu, sebelum dilucutkan jawatan kapten oleh Flick pada awal musim ini kerana enggan berkongsi data perubatan dengan La Liga.
Ter Stegen kemudian dikembalikan semula ke jawatan tersebut.
Barcelona kini berada di kedudukan ke-18 dalam carta Liga Juara-Juara dengan tujuh mata, manakala Eintracht Frankfurt menghuni tempat ke-28 dengan empat mata.
Kedua-dua pasukan akan berentap pada Selasa di Camp Nou yang baru selesai menjalani kerja pengubahsuaian dan ia merupakan perlawanan pertama di stadium ikonik itu sejak ia dibuka semula. -REUTERS