TOKYO, 21 November – Cabaran skuad olahraga pekak negara dalam acara 200 meter (m) lelaki dan wanita di Deaflympics Tokyo 2025 berakhir di Stadium Komazawa Metropolitan apabila semua atlet Malaysia terkandas di pusingan pertama, hari ini.
- Semua atlet Malaysia dalam acara 200m lelaki dan wanita tersingkir di pusingan pertama Deaflympics Tokyo 2025.
- Nur Andrina Zainudin tamat kelima saringan wanita dengan catatan 27.85s, gagal layak ke separuh akhir.
- Pusingan disertai pemenang saringan Elaine Janice Den Exter (25.93s), menunjukkan persaingan sengit.
- Tiga wakil lelaki — Hazrul Shah, Muhammad Zamir dan Muhammad Zumar — juga gagal mara dari saringan masing-masing.
- Tumpuan kontinjen kini beralih kepada acara olahraga lain bagi meneruskan usaha memburu pingat.
Aksi bermula menerusi wakil wanita, Nur Andrina Zainudin, yang berentap dalam saringan pertama. Dia menamatkan perlumbaan di tempat kelima daripada lapan peserta dengan catatan 27.85 saat, sekali gus gagal melayakkan diri ke separuh akhir.
Saringan itu menyaksikan pelari Belanda, Elaine Janice Den Exter, muncul juara dengan masa 25.93s, diikuti atlet Ukraine, Kristina Kiniaikina (25.97s) dan wakil Kenya, Beryl Atieno Wamira (26.51s).
Mengikut format kejohanan, hanya tiga pelari terbaik setiap saringan serta empat pelari terpantas seterusnya daripada keseluruhan empat saringan layak ke separuh akhir yang dijadual berlangsung esok.
Dalam saingan lelaki, tiga atlet negara turut menerima nasib sama apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok dua pelari terbaik daripada lapan saringan, termasuk lapan pelari terpantas seterusnya.
Hazrul Shah Hamri menjadi wakil pertama turun beraksi dan menamatkan saringan kedua di tempat kelima dengan masa 23.41s.
Turut kandas, Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, Muhammad Zamir Azman, yang menamatkan saringan ketiga di tempat kelima dengan catatan 23.31s.
Saingan saringan ketujuh pula menyaksikan kembar Zamir, Muhammad Zumar, menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 23.48s.
Keputusan itu menyaksikan, tumpuan kini beralih kepada acara lain yang masih disertai kontinjen olahraga negara dalam usaha memburu pingat di Tokyo.