Dari khemah Gaza, ibu suntik semangat jurulatih Palestin

DOHA, 7 Disember – Jurulatih pasukan bola sepak Palestin, Ehab Abu Jazar, menggalas harapan dan kesedihan rakyat Palestin di pentas antarabangsa, namun sumber kekuatan utamanya datang daripada ibunya yang kini tinggal di dalam khemah di Gaza akibat peperangan.

Perang yang tercetus sejak Oktober 2023 telah menghentikan liga bola sepak Palestin dan menyebabkan ramai atlet terpaksa hidup dalam buangan sambil memikirkan keselamatan keluarga mereka di Gaza.

Namun, ibu Abu Jazar enggan membiarkan konflik itu menguburkan impian sukan anaknya, malah terus memberikan nasihat taktikal melalui telefon dari runtuhan wilayah Palestin itu.

“Dia bercakap dengan saya hanya tentang pasukan. Dia mahu fokus sepenuhnya kekal kepada kejohanan,” kata pengurus berusia 45 tahun itu kepada AFP.

“Ibu saya bertanya tentang pemain, siapa yang akan diturunkan, siapa yang tidak akan beraksi, tentang taktikal, semangat pemain dan keadaan semasa mereka.”

Abu Jazar, bek kiri sebelum ini, berkata dia mahu pemainnya membawa semangat yang ditunjukkan oleh ibunya dan rakyat Gaza.

“Kami sentiasa mengatakan bahawa kami adalah keluarga kecil Palestin yang mewakili keluarga yang lebih besar,” katanya.

“Ia sememangnya memberi tekanan kepada kami, tetapi ia adalah tekanan yang positif.”

Pasukan Palestin yang berada di ranking ke-96 dunia FIFA menyaksikan impian beraksi di Piala Dunia pertama mereka berkubur pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, skuad itu kini hampir melangkah ke suku akhir Piala Arab, sekali gus terus membawa mesej ketabahan.

Palestin dijadual menentang Syria dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Arab, Ahad ini dan hanya memerlukan keputusan seri untuk mencipta pencapaian luar biasa.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.