Tindakan UMM turun video muzik Dolla, cermin kepekaan industri hiburan

KUALA LUMPUR, 16 November – Tindakan pihak Universal Music Malaysia menurunkan semula muzik video Dolla daripada semua platform rasmi mereka mencerminkan keikhlasan dan kepekaan hati pihak industri hiburan terhadap suara masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Universal Music Malaysia menurunkan muzik video Dolla semula sebagai tanda kepekaan dan tanggungjawab terhadap reaksi masyarakat.
  • Langkah itu dihargai oleh Menteri Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar sebagai tindakan berhemah dan bertanggungjawab.
  • Kreativiti seni digesa selari dengan adab, kesantunan dan nilai timur menurut aspirasi Malaysia MADANI dan Transformasi Al-Falah.
  • Diharapkan langkah ini menginspirasi industri hiburan untuk berkarya dengan sensitif, telus dan menghormati perasaan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan menyatakan penghargaan terima kasih atas langkah berhemah dan penuh rasa tanggungjawab itu.

“Semua pihak sedang memikul amanah untuk membina sebuah ekosistem yang bukan sahaja subur dengan kreativiti, tetapi juga dipayungi adab, kesantunan dan rasa hormat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Transformasi Al-Falah yang mengangkat keseimbangan antara jiwa seni dan nilai murni.

“Justeru, kreativiti dalam dunia seni yang disulami dengan kelembutan budi, nilai ketimuran dan sensitiviti kepada perasaan masyarakat mampu menjadi wahana yang menyatukan hati serta memuliakan budaya negara,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut berharap tindakan sedemikian menjadi inspirasi kepada seluruh warga industri hiburan untuk terus berkarya dengan telus, penuh rasa tanggungjawab dan kasih terhadap masyarakat.

Terdahulu video muzik lagu terbaharu artis naungan Universal Music Malaysia, iaitu kumpulan Dolla berjudul Question dikritik tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.