KUALA LUMPUR, 11 Disember – Tiada kecuaian atau kompromi dalam proses ‘underreporting’, khususnya kes melibatkan penjaga berautoriti atau institusi berdaftar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, setiap pegawai polis terikat dengan standard profesionalisme yang wajib dipatuhi, selain mempunyai tanggungjawab dan pertanggungjawaban.
“Pasukan polis perlu mencapai tahap profesionalisme yang telus dan tanpa kompromi. Kegagalan mematuhi peraturan akan mendedahkan mereka kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman.
“Terdapat kes-kes pegawai terpaksa berdepan siasatan disiplin, termasuk tindakan seperti amaran, denda, lucut hak emolumen atau harta, malah pemberhentian kerja, bergantung kepada tahap kesalahan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang di Dewan Negara, pada Khamis.
Tambah beliau, jaminan di beri bagi setiap pegawai polis yang disiasat akan bertanggungjawab, dan semua tindakan diambil mengikut prosedur dan peraturan yang mesti dipatuhi.