Sistem RAKAN diperkasa, tangani isu sensitif lebih proaktif

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) giat memperkukuh sistem Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), sebagai platform aduan dan sistem amaran awal yang lebih efektif dalam mengesan isu diskriminasi serta ketegangan dalam komuniti.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy, berkata penambahbaikan itu penting bagi memastikan setiap isu sensitif dapat dikesan dan ditangani lebih awal demi memelihara keharmonian negara.

Jelas beliau, penambahbaikan sistem RAKAN melibatkan beberapa komponen utama.

“Pertama, pengukuhan teknologi RAKAN melalui pembangunan aplikasi mudah alih serta papan pemuka masa nyata untuk memaparkan tren aduan dan menilai risiko isu perpaduan dalam komuniti. Integrasi data dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sedang dipertingkat bagi mempercepatkan tindakan terhadap aduan yang melibatkan unsur jenayah atau kebencian.

“Kedua, penambahbaikan aspek perlindungan pelapor. Kementerian sedang meneliti ciri pelaporan tanpa nama serta langkah keselamatan data yang lebih ketat bagi melindungi identiti pelapor, selaras dengan amalan terbaik perlindungan ‘whistleblower’.

“Ketiga, penetapan mekanisme tindakan yang lebih jelas, termasuk garis masa maklum balas, penetapan agensi peneraju mengikut kategori aduan serta pelaksanaan audit berkala,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli di Dewan Negara.

Selain itu, program literasi masyarakat turut akan diperluas melalui jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, media komuniti, dan kerjasama dengan Pusat NADI di bawah Kementerian Komunikasi.

Tambah K. Saraswathy, inisiatif ini bertujuan menggalakkan komuniti membuat laporan tepat dan bertanggungjawab, sekali gus mencegah isu diskriminasi di peringkat awal.

Pada masa sama, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) juga akan menyediakan laporan status berkala merangkumi statistik aduan, tindakan susulan dan impak intervensi, bagi memastikan sistem RAKAN terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.