PETALING JAYA, 14 Disember – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan isu kebersihan di negeri itu akan terus diberi perhatian serius dan ditangani secara menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap aduan yang disuarakan oleh masyarakat, termasuk melalui media sosial, akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa berkaitan.
Pada masa sama, kerajaan negeri turut melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem kutipan sisa pepejal bagi menjamin pengurusan kebersihan yang lebih cekap dan efisien.
“Kita sedang sekarang ini menerima banyak laporan yang disampaikan oleh pelbagai pihak dengan kewujudan media sosial dan sebagainya. Exco akan meneliti semua laporan yang diterima dan kita akan memberikan maklum balas serta respons sewajarnya,”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan perayaan Krismas peringkat Negeri Selangor 2025 di sebuah pusat membeli belah, di sini hari ini.
Tambahnya, sistem kutipan sisa pepejal diperkemas kerana sistem sedia ada dalam zon ekonomi berdepan dengan cabaran seperti kelewatan dan sebagainya, termasuk halangan-halangan tertentu.