RUU Antibuli 2025 : Rehabilitasi dan reformasi jadi teras perlindungan kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 7 Disember – Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 yang diluluskan pada Rabu lepas, bukan lagi berteraskan hukuman semata-mata, sebaliknya membawa pendekatan baharu melalui rehabilitasi dan reformasi terhadap pelaku serta institusi pendidikan.

Prof Madya Dr. Nadzriah Ahmad, Ketua Entiti Kecemerlangan Undang-Undang Kanak-Kanak, Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, bukan sahaja mangsa buli dilindungi melalui sistem aduan rasmi, tetapi pelaku turut dikenakan tindakan dan dibimbing agar tidak mengulangi perbuatan yang boleh mencetuskan kitaran buli.

“Pendekatan sedia ada lebih berteraskan ‘crime-based’, iaitu menekankan hukuman. Namun bagi kanak-kanak, kita tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman atau membuat satu perintah yang semata-mata tertumpu kepada kesalahan.

“Kita juga perlu melihat bagaimana untuk mereformasi mereka, mendidik mereka dan membantu mereka sedar bahawa perbuatan itu termasuk buli adalah satu kesalahan,” katanya ketika ditemu bual selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.

“RUU ini lain daripada akta-akta yang kita ada sekarang kerana ia juga menekankan aspek rehabilitasi dan reformasi. Kebanyakan pembuli merupakan mangsa buli. Jadi kalau kita tidak mengambil tindakan untuk membetulkan pembuli ini, kitaran itu tidak akan berhenti,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Malaysian Crime Prevention Foundation (MCPF) Selangor menegaskan, faktor utama wujudnya RUU tersebut kerana kerajaan mahukan satu perundangan yang lebih komprehensif.

“Kita memang ada undang-undang sedia ada, tetapi semuanya wujud secara ‘piecemeal’ (sedikit demi sedikit) dan tidak holistik,” tambahnya.

RUU itu memperkenalkan Tribunal Antibuli sebagai mekanisme kehakiman mesra mangsa, termasuk kuasa mengarahkan permohonan maaf dan pembayaran pampasan sehingga RM250,000.

“Tribunal ini mempunyai quasi-judicial yang diberi kuasa membuat perintah (award). Salah satu yang lain daripada yang lain adalah meminta maaf kepada mangsa buli selain ibu bapa membayar pampasan dan menghadiri sesi kaunseling,” katanya.

Pendekatan reformasi ini turut menggalakkan penglibatan ibu bapa bagi memastikan kanak-kanak memahami kesalahan, serta dibimbing melalui proses kaunseling dan pemulihan.

“RUU ini menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam membantu kita membetulkan kelakuan anak-anak ini, dan ibu bapa harus memastikan anak ini mengikuti perintah tribunal,” katanya.

RUU Antibuli 2025 turut memperluaskan definisi buli merangkumi kesan psikologi, sosial, emosi dan fizikal, termasuk tingkah laku yang berlaku di alam maya.

Dengan penekanan terhadap pemulihan, penglibatan ibu bapa dan mekanisme tribunal, RUU Antibuli 2025 dijangka bukan sahaja menghukum, tetapi membentuk budaya sekolah yang lebih selamat, melindungi mangsa dan mendidik pelaku agar tidak mengulangi perbuatan buli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.