KUALA LUMPUR, 7 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku terbaharunya bertajuk ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times’.
Buku setebal 240 halaman itu mengandungi cabaran era taksa, tidak menentu dan tidak stabil yang dikenali sebagai Zaman Pascanormal (Postnormal Times).
Datuk Seri Anwar turut mengajak pembaca untuk menilai semula pendekatan mereka dalam menghadapi landskap baharu di seluruh dunia yang semakin mencabar.
Perdana Menteri mengumumkan semua royalti hasil jualan buku itu, akan disalur sepenuhnya kepada pelajar miskin di seluruh negara.
“Setiap sen royalti buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times disumbangkan kepada pelajar miskin seluruh negara,”kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pelancaran di Bukit Jalil.
Buku berkenaan, diterbitkan oleh tiga penerbitan untuk pasaran seluruh dunia, iaitu Husrt London (untuk pasaran United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah), Penguin (Asia) dan Hong Kong University Press (China dan Asia Timur).
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak penerbit kerana menerbitkan karya berkenaan dan memberi potongan harga bagi pembelian.
Pada majlis sama, beliau turut meluangkan masa bergambar, beramah mesra dan menandatangani lebih 50 naskhah buku yang dibeli oleh pembeli awal.
Buku itu menghimpunkan gagasan pemikiran dan refleksi peribadi Datuk Seri Anwar mengenai keadilan sosial, reformasi serta cabaran yang dihadapi masyarakat dalam era pascanormal.