PUTRAJAYA, 11 Disember – Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025 berjaya mencungkil bakat 78 murid golongan orang kurang upaya (OKU) dalam bidang tilawah, hafazan dan bercerita.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, program seumpama itu amat penting bagi merealisasikan hak sama rata golongan itu sebagai seorang insan apatah lagi hak sebagai seorang muslim.
“Program ini memang sangat penting. Saya sendiri melihat bagaimana anak-anak OKU, jika diberikan peluang dan akses yang sepatutnya, mampu mencapai kecemerlangan.
“Kejayaan cemerlang itu sama seperti yang pernah dicapai orang lain. Mereka sebenarnya boleh menjadi jauh lebih hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025 di sini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Mohd Azrani Asran berkata, pihaknya komited menganjurkan program berkenaan di peringkat negeri pada setiap tahun.
“Kita memberikan ruang kepada mereka dengan menyediakan guru-guru serta latihan kepada murid-murid. Kita juga menetapkan peraturan yang jelas tentang bagaimana mereka boleh dibantu.
“Selain itu, kita menyediakan modul yang boleh digunakan, dan pakar-pakar di Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas turut bersedia membantu guru-guru sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah berkaitan murid-murid tersebut,” katanya.
Berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (S) pertandingan itu melibatkan tiga kategori iaitu tilawah, hafazan dan penceritaan daripada Hadis 40.
Hilman Shakir Mohammad Shahir, 11 tahun dan Nurin Zuqrina Begam Abdul Razak, 12 tahun menjuarai kategori Tilawah Rendah manakala Muhammad Solihin Mohd Ferdaus dan Nurul Sakinah Nasir dinobatkan sebagai johan bagi kategori Hafazan.
Program itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Pertubuhan Kebajikan Sejahtera Putrajaya.