Program Kampung Angkat MADANI ubah wajah Rh Kiong

KAPIT, 7 Disember – Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025 di Rumah Panjang Kiong, Sungai Anggau di Kapit, kini siap sepenuhnya. 

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, di bawah KAM KKR 2025, Rumah Panjang Kiong menerima peruntukan lebih RM1 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di rumah panjang itu. 

Jelasnya, antara yang dilaksanakan termasuk pemasangan siling dan kerja pendawaian semula di seluruh rumah panjang, pembinaan kawasan letak kereta berbumbung, pembinaan tandas tetamu dan penyediaan perabot baharu termasuk sofa dan meja kopi. 

Turut disediakan adalah sistem siaraya baharu untuk kegunaan majlis serta aktiviti komuniti.

“Selain itu, kerja pembaikan bumbung rumah panjang turut dilaksanakan demi memastikan keselesaan dan keselamatan jangka panjang penduduk.”

“Memang ada keperluan untuk disambung projek-projek untuk membina benteng di sungai di belakang kampung ini tetapi itu kemudianlah. Sebab diperingkat yang kita diberi peruntukan sedia ada, kita telah siap 100 peratus menggunakan peruntukan Kampung MADANI tahun 2025 ini,” jelasnya.

Datuk Seri Alexander ditemui media selepas menyempurnakan majlis penyerahan projek siap itu kepada Tuai Rumah, Kiong Igang. 

Kesemua usaha ini jelasnya, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri dalam memastikan jurang kemudahan asas antara kawasan bandar dan luar bandar terus dirapatkan. 

Menurut beliau, cetusan idea program Kampung Angkat MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dekat di hati beliau sebagai seorang yang membesar jauh di pedalaman.

Katanya, program itu turut membawa harapan baharu kepada mereka yang selama ini mungkin terpinggir, memastikan setiap keluarga di kampung itu merasai nikmat kesejahteraan, perhatian dan kasih kerajaan yang benar-benar memahami kehidupan rakyat di akar umbi.

Dalam pada itu, Tuai Rumah, Kiong Igang, ketika ditemui turut merakamkan penghargaannya diatas pemilihan rumah panjangnya untuk menjadi penerima projek dibawah Program Kampung Angkat Madani. 

“Dengan adanya projek-projek seperti ini dapatlah memberi kesenangan kepada penduduk yang jauh di pedalaman,” katanya

Beliau turut berharap program Kampung Angkat Madani akan diteruskan di rumah-rumah panjang lain di pedalaman Kapit agar mereka juga merasai projek pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan Madani kepada rakyat di luar bandar. 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.