KUALA LUMPUR, 11 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi muat naik di laman Instagram, Datuk Seri Anwar mendoakan Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin serta seluruh kerabat Diraja dikurniakan kesejahteraan berpanjangan dan terus memayungi rakyat negeri Selangor.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan atas kepimpinan dan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negeri itu terus terpelihara.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga merafak sembah mengucapkan tahniah sempena ulang tahun keputeraan Sultan Selangor.
Beliau mendoakan agar Sultan Sharafuddin diberi keafiatan dan kebahagiaan serta agar pemerintahan baginda terus diberkati.