Penubuhan jawatankuasa khas siasatan kemalangan diteruskan sehingga MTSB diwujudkan – Loke

KUALA LUMPUR, 17 November – Mekanisme pewujudan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes kemalangan besar akan diteruskan sehingga Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) diwujudkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini juga beberapa langkah pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani kes kemalangan jalan raya.

Ini termasuk mewajibkan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) terhadap pemilik kenderaan berat.

Menurutnya, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang gagal berbuat demikian. 

“Dari segi engagement (keterlibatan) dan kempen kesedaran pemanduan berhemah terutama penunggang motosikal diteruskan. Bukan tunggu penubuhan MTSB baru buat tindakan intervention (intervensi). Tindakan intervensi sedang dilaksana begitu giat sekali oleh Kementerian Pengangkutan dan agensinya terutama JPJ, MIROS dan sebagainya, ” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Loke berkata, meskipun model MTSB belum dimuktamadkan, namun kementerian mengambil kira pandangan serta membuat perbandingan dengan agensi keselamatan pengangkutan antarabangsa, selain mempertimbangkan amalan terbaik yang diguna pakai di luar negara.

“Apa sahaja agensi siasatan, sudah tentu ada kebebasan. Malah task force (pasukan petugas) yang kita bentuk sekarang ini memang bebas melaksanakan siasatan dan mengemukakan apa sahaja syor, ” tambahnya lagi.

“MOT tidak akan sesekali membuat pindaan atau mengedit laporan siasatan dan pembentangan harus dibuat secara terbuka, ” tegas Loke. 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.