PENAGA, 17 Disember – Pengurusan sisa pertanian menerusi program kitar semula bekas racun makhluk perosak akan terus diperkukuh dalam kalangan petani dan pesawah bagi menggalakkan pematuhan kepada Prinsip Amalan Pertanian Baik.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, usaha berkenaan memerlukan perhatian serius serta kerjasama semua pihak, bermula daripada petani dan pesawah sehingga pengeluar agrokimia.
“Sebagai contoh, kita mempunyai kira-kira 200,000 pesawah padi. Jika setiap seorang menggunakan satu botol racun makhluk perosak, ini bermakna terdapat 200,000 bekas yang perlu diuruskan. Sekiranya tidak diurus secara berhemah, ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar yang lebih besar. Oleh itu, kita akan mempergiatkan aktiviti pengembangan supaya mereka memahami kesannya bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Menurut beliau, sehingga kini terdapat sebanyak 556 pusat pengumpulan bekas racun makhluk perosak, merangkumi 41 pusat pengumpulan primer dan 515 pusat pengumpulan kecil di kawasan pertanian.
Pada masa sama, pihaknya turut menggalakkan lebih banyak kerjasama awam-swasta berteraskan prinsip kolaborasi bagi memastikan sektor pertanian negara kekal lestari, berdaya saing serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Kitar Semula Bekas Racun Makhluk Perosak di Pertubuhan Peladang Kawasan Penaga, Pulau Pinang.