KUANTAN, 17 Disember -Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat kepada 2,823 orang setakat pukul 12.00 tengah hari berbanding 2,027 orang, pagi tadi.
Kesemua 879 keluarga itu kini berlindung di 29 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan empat daerah.
Menurut Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat daerah terjejas di Pahang adalah Kuantan, Rompin, Maran dan Pekan.
“Kuantan menempatkan penduduk terjejas paling ramai iaitu 2,403 orang, berlindung di 14 PPS diikuti Rompin seramai 203 orang di enam PPS, Maran 217 orang di lapan PPS manakala satu PPS diaktifkan di Pekan,” menurut Portal InfoBencana JKM.
PPS Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di Kuantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu seramai 407 orang daripada 142 keluarga.
Situasi banjir dijangka berlanjutan susulan amaran hujan di Pahang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Khamis ini.