Pemergian Tan Sri Syaikh Ismail kehilangan besar buat umat Islam negara ini

KUALA LUMPUR, 7 Disember – Pemergian bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham bukan sahaja dikenali sebagai Imam Besar Masjid Negara paling lama berkhidmat tetapi juga seorang pendidik, mursyid dan tokoh al-Quran yang mencurahkan ilmunya tanpa jemu.

“Khidmat beliau sebagai hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut mengangkat martabat negara di mata dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata tokoh agama yang amat dihormati itu adalah insan yang lembut tutur kata, tinggi ilmu dan besar jasanya dalam memartabatkan al-Quran, ilmu dan dakwah.

“Keperibadian beliau akan kekal menjadi contoh sepanjang zaman.

Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian kehilangan ini.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal solehnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solihin,” katanya.

‎Allahyarham Syaikh Ismail yang merupakan Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021 Peringkat Kebangsaan dan berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara pada 2007 hingga 2019 meninggal dunia pada usia 81 tahun awal pagi tadi. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.