KUALA LUMPUR, 11 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia menambah pembinaan pos kawalan baharu bagi memastikan bekalan barang-barang keperluan dan bersubsidi sampai ke kawasan pedalaman yang masih menghadapi isu capaian.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata di bawah program Pengedaran Barangan Perlu (PBP), pembukaan pos kawalan baharu boleh dipertimbangkan sekiranya sesuatu kawasan berada lebih 15 kilometer (km) dari pos sedia ada.
Selain, turut mengambil kira harga barang kawalan yang dijual melebihi 50 peratus daripada harga kawalan akibat kos logistik tinggi.
“Ini dasarnya… selepas 15km, boleh diwujudkan satu lagi pos. Jika harga barang di kawasan tanpa pos meningkat sehingga lebih 50 peratus daripada harga kawalan, ia layak disyorkan untuk penubuhan pos pengedaran barang perlu baharu.
“KPDN terbuka berbincang dengan Ahli Parlimen dan wakil tempatan bagi meneliti kawasan yang memerlukan tambahan pos kawalan PBP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Michael Mujah Lihan dan Norhasmimi Abdul Ghani yang sebelum ini membangkitkan isu PBP di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar diakses masuk hingga menyebabkan kos logistik melambung tinggi.
Datuk Dr Fuziah berkata kerajaan memperuntukkan RM250 juta kepada PBP melibatkan 120 zon pengedaran, 559 kawasan serta 820 titik jualan di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Pahang.
Beliau menjelaskan kos logistik yang tinggi, termasuk penghantaran menggunakan bot ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak menyebabkan harga barangan kawalan seperti LPG, tepung gandum, gula dan minyak masak peket melonjak jika tiada intervensi kerajaan melalui PBP.+