Pastikan tiada jurang antara keputusan kerajaan dan realiti rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Kerajaan tidak mahu wujud jurang atau ‘disconnect’ antara keputusan dibuat di peringkat tertinggi kerajaan dengan realiti pelaksanaan yang berlaku di peringkat daerah, tapak projek atau komuniti setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan beliau tidak mahu kementerian bergantung sepenuhnya kepada laporan rasmi yang kadangkala tidak menggambarkan keadaan sebenar tanpa mendengar suara mereka yang turun padang.

“Kadang-kadang saudara lebih memahami keperluan di peringkat bawahan berbanding apa yang dirancang di peringkat atasan. Sebab itu pegawai-pegawai perlu turun ke lapangan. Kita melaksanakan konsep Kampung Angkat MADANI, Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), kerana kita tidak mahu wujudnya jurang atau ‘disconnect’ antara pihak atasan di Kuala Lumpur dengan masyarakat di ceruk Tokkun,” katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar, pandangan pegawai bawahan adalah penting dan perlu diambil perhatian kerana merekalah yang melihat masalah dari jarak paling dekat.

“Kadangkala kita luluskan projek pembinaan sekolah, namun apabila turun ke lapangan, kita dapati keadaan jalan di kawasan itu sangat teruk. Perkara tersebut tidak termasuk dalam skop projek asal. Sebab itu kita perlu memberi ruang kepada pegawai untuk mengemukakan pandangan mereka, meskipun ia tidak berada dalam proses sedia ada, dan kita akan memberikan pertimbangan sewajarnya,” tambahnya.

Perdana Menteri, berkata amalan memberi ruang kepada suara lapangan berupaya memperbaiki keberkesanan pelaksanaan projek dan memastikan hasilnya benar-benar dirasai rakyat.

“Dengan pendekatan sebegini, kita bekerja sebagai satu pasukan. Saya percaya peranan Ketua Setiausaha untuk terus memantau amat penting dalam memastikan Kementerian Kerja Raya mencapai prestasi yang membanggakan,” katanya lagi.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan ketepatan keputusan kerajaan, tetapi juga memastikan setiap dasar dan projek benar-benar menyelesaikan masalah rakyat secara nyata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.