KUALA LUMPUR, 10 Disember – Mandat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kekal memegang tanggungjawab utama memperkasa sosioekonomi komuniti India, melalui pelaksanaan program intervensi yang disusun secara lebih bersasar.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, menjelaskan bahawa penyaluran dana MITRA melalui agensi lain bukan perubahan mandat, sebaliknya kaedah pelaksanaan yang diputuskan kerajaan supaya intervensi dapat dibuat secara segera dan menyeluruh.
“Program inisiatif yang diluluskan Perdana Menteri bersifat intervensi, bertujuan menyelesaikan isu mendesak serta memerlukan tindakan rentas kementerian termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, kerohanian dan peningkatan kemudahan asas komuniti India,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan dana MITRA benar-benar sampai kepada penerima sebenar, dan tidak dimanfaatkan pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan komuniti India.
“Peruntukan MITRA 100 peratus digunakan untuk manfaat masyarakat India sahaja. Tiada satu sen pun digunakan bagi program kementerian lain yang tidak melibatkan masyarakat India.
“Setiap ringgit kekal sebagai peruntukan MITRA dan setiap penerima bantuan adalah dalam kalangan masyarakat lndia, sebagaimana mandat yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Ramanan turut menjelaskan bahawa pembangunan komuniti India tidak bergantung semata-mata kepada peruntukan tahunan RM100 juta, malah mendapat sokongan tambahan melalui pelbagai program kementerian dan badan pelaksana yang turut menyediakan kemudahan, latihan dan bantuan keusahawanan kepada semua kaum termasuk masyarakat India.
Antara kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.