KUALA LUMPUR, 15 Disember -Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi menilai perkembangan terkini ketegangan antara Kemboja dan Thailand yang dijadual berlangsung esok, ditangguhkan susulan permintaan kedua-dua negara terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang memastikan segala persiapan dapat diselaraskan dengan lebih teratur.
“Kemboja dan Thailand meminta sedikit penundaan. Oleh itu, mesyuarat ini ditangguhkan bagi memastikan semuanya dapat diurus dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia terus menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan sebarang bentuk pertikaian memandangkan situasi ketika ini berada pada tahap kritikal.
“Kami masih menyeru agar pertempuran dihentikan. Keadaan sekarang sangat kritikal dan saya berhubung dengan mereka secara maya hampir setiap hari,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut mengulas laporan media mengenai sekatan laut Thailand di Teluk Thailand bagi menghalang bekalan strategik ke Kemboja.
Datuk Seri Anwar berkata, rundingan sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.
Sebelum ini, Malaysia menyeru Kemboja dan Thailand menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak mengambil sebarang tindakan ketenteraan lanjut.
Seruan itu disampaikan menerusi perbualan telefon berasingan Datuk Seri Anwar dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Terdahulu, Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menandatangani perjanjian semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober lalu, yang disaksikan oleh Datuk Seri Anwar dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menerusi perjanjian berkenaan, kedua-dua negara bersetuju menamatkan permusuhan serta memupuk hubungan kejiranan yang baik.
Konflik antara Thailand dan Kemboja tercetus susulan isu sempadan sepanjang 817 kilometer antara kedua-dua negara.