MED4IRN setuju tubuh Unit Transformasi Digital di setiap kementerian – PM

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian, mempercepat pendaftaran MyDigital ID, dan memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat MED4IRN Bilangan 6/2025 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.

“Keutamaan turut diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di Universiti Awam (UA) serta premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan,” tambahnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, kerajaan juga telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026-2030 (DICE) sebagai panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.

“Segala inisiatif ini menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026-2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat,” kata beliau.

Datuk Seri Anwar mempengerusikan mesyuarat MED4IRN bagi memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan MADANI demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.