ALOR SETAR, 15 Disember – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerima kunjungan rasmi delegasi dari Wilayah Satun, Thailand dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama serantau antara kedua-dua pihak.
Ketibaan delegasi seramai 35 orang itu disambut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, diiringi Ahli Majlis MBAS, Shamsudin Ahmad di Ibu Pejabat MBAS.
Rombongan dari Thailand tersebut diketuai oleh Pengerusi Al-Hijrah Islam Cooperative Wilayah Satun, Burhanuddin Baikadem.
Pertemuan yang berlangsung itu bertujuan untuk mengeratkan jalinan persahabatan serta menjadi platform pertukaran idea bagi pembangunan komuniti dan belia antara Wilayah Satun dan Bandar Raya Alor Setar.
Usai lawatan tersebut, delegasi Satun turut melawat ke beberapa tempat menarik di sekitar bandar raya Alor Setar termasuk Muzium Negeri Kedah dan Stadium Darul Aman.
Kunjungan itu dilihat sebagai platform untuk membuka lebih banyak ruang kolaborasi pada masa hadapan, khususnya dalam sektor pelancongan, kebudayaan, dan pembangunan mampan antara kedua-dua bandar.