KUALA LUMPUR, 17 November– Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang 2030.
- Malaysia berada di landasan kukuh capai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang 2030.
- 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal telah dilatih, diperakui dan diserap dalam industri semikonduktor.
- Pelbagai universiti dan pusat kemahiran terlibat dalam latihan, R&D, serta pembangunan kepakaran semikonduktor.
- Kerjasama CREST dan HRD Corp mensasarkan peningkatan kemahiran 15,000 individu bagi memacu inovasi.
Ini apabila 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih, diperakui kemahiran, serta diserap ke dalam pelbagai segmen industri semikonduktor sejak Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dilancarkan pada Mei tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata ia merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, fabrikasi
wafer, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan yang dijalankan beberapa universiti.
“Antara universiti terlibat dalam usaha berkenaan adalah Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Malaysia Perlis serta pusat kemahiran seperti Malaysian Institute of Microelectronic Systems Berhad (MIMOS), Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) – SIDEC, dan Penang Skills Development Centre (PSDC), ” katanya ketika menjawab soalan di kemukakan wakil Jerantut Khairil Nizam Khirudin di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu tambah beliau,Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), sebuah agensi bawah MITI bersama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 24 Julai tahun ini bagi membentuk perkongsian strategik dalam pembangunan bakat
di bawah kerangka NSS.
Kerjasama ini menyasarkan peningkatan kemahiran 15,000 pelajar institusi pengajian tinggi, graduan, pekerja industri dan penyelidik, bagi memacu inovasi serta memperkukuh daya saing global Malaysia.