LRT3 disasar mula operasi hujung tahun ini

KUALA LUMPUR, 17 November – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi pada 31 Disember depan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan LRT3 dijangka mula operasi pada 31 Disember, selepas fasa akhir ujian dan pentauliahan selesai.
  • Keutamaan diberi kepada keselamatan, kebolehpercayaan operasi dan pematuhan teknikal sebelum tarikh pembukaan muktamad.
  • Pelaksanaan fault-free run (FFR) diperlukan untuk memastikan tiada gangguan teknikal semasa operasi.
  • Rapid Rail telah melantik 956 kakitangan untuk operasi, teknikal, kejuruteraan dan sokongan LRT3.

Beliau berkata projek berkenaan kini berada dalam fasa akhir ujian dan pentauliahan, dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan sebelum dibuka kepada orang ramai.

“Kementerian bersama Prasarana Malaysia Berhad serta pihak berkuasa berkaitan sedang memberi keutamaan penuh kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan operasi dan pematuhan teknikal sebelum tarikh pembukaan dapat disahkan secara muktamad.

“Tarikh pembukaan ini sangat bergantung kepada keputusan ujian akhir, termasuk pelaksanaan fault-free run (FFR) bagi memastikan tiada sebarang gangguan teknikal apabila ia beroperasi kelak,” katanya.

Loke berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebagai persediaan pengoperasian LRT3, Rapid Rail Sdn Bhd telah melantik 956 kakitangan setakat ini, merangkumi pasukan operasi, teknikal, kejuruteraan dan sokongan.

Sementara itu, mengulas kejadian kebocoran bumbung di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan hujan lebat Jumaat lalu, Loke berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diminta mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terlibat.

“Kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di kawasan terbabit perlu dipertanggungjawabkan, terutama jika gagal mematuhi prosedur operasi standard.

“Kejadian ini sangat mendukacitakan, memalukan dan memberikan imej negatif kepada negara serta sukar untuk dimaafkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pendirian Kementerian Pengangkutan untuk tidak berkompromi dalam isu pematuhan undang-undang berkaitan kenderaan lebih muatan.

Katanya lagi, hanya dengan ketegasan dan tekad politik yang kuat, dapat memerangi isu yang telah berlarutan selama puluhan tahun.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM6,767,918,800 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.