KUALA PILAH, 7 Disember – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Projek Kampung Angkat MADANI terus menzahirkan komitmen terhadap pemerkasaan masyarakat luar bandar dengan menyantuni penduduk di Kampung Terusan Seberang, Juasseh, Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun berkata, peruntukan berjumlah RM1 juta disalurkan melalui projek berkenaan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi pembangunan infrastruktur, kebajikan, pendidikan, pembangunan modal insan serta peningkatan sosioekonomi komuniti secara menyeluruh.
Program itu merupakan kesinambungan kepada Inisiatif Santuni MADANI yang telah dilaksanakan pada Februari 2025, dan diperluas melalui kerjasama strategik bersama syarikat konsesi lebuh raya serta rakan-rakan industri yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Inisiatif Kampung Angkat MADANI dirangka bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar melalui usaha bersepadu meliputi peningkatan infrastruktur, pengukuhan literasi digital, pemerkasaan ekonomi serta pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan inklusif.
“Inisiatif Kampung Angkat MADANI ini, pada pandangan saya, merupakan sebuah usaha kerajaan MADANI yang amat baik. Pelaksanaannya juga melibatkan ketua-ketua agensi yang diberikan mandat istimewa untuk membuat keputusan secara profesional.
“Saya berharap inisiatif ini benar-benar dapat disalurkan kepada kumpulan sasar. Bagi saya, ia merupakan satu rezeki besar untuk kampung kelahiran saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Projek Kampung Angkat Madani di sini pada Sabtu.
Antara kerja naik taraf yang telah dilaksana merangkumi penambahbaikan menyeluruh Masjid Kampung Terusan Seberang, infrastruktur balai raya dan fasiliti pendidikan.