DARO, 11 Disember – Seorang lelaki dilaporkan hilang manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri selepas bot yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Sirik, Pulau Bruit, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, Timbalan Penguasa Polis DSP Rahim Mihos ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurut beliau, mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Aldin Rakli, 59 tahun.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika pengadu bersama abang iparnya dalam perjalanan dari Kampung Betanak menuju ke Kuala Matu. Bot yang dinaiki mereka dipukul ombak kuat sehingga menyebabkan kedua-duanya tercampak ke dalam laut.
“Pengadu dan abang iparnya cuba berenang ke pantai untuk menyelamatkan diri, namun abang iparnya dilaporkan hilang dan belum ditemui,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 11.32 pagi.
“Maklumat awal mendapati kedua-duanya bertolak dari Kampung Petanak ke Matu sekitar pukul 7 pagi menggunakan bot nelayan.
“Pada kira-kira pukul 9 pagi, pengadu menghubungi keluarganya memaklumkan bot mereka karam akibat rempuhan ombak. Hanya dia berjaya berenang ke tebing manakala Aldin tidak sempat sampai. Kejadian berlaku ketika keadaan ombak agak kuat,” jelasnya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang digerakkan oleh pihak berkuasa.