Lawatan Negara: Sultan Ibrahim berlepas ke Bahrain

RIYADH, 6 November– Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke Bahrain selepas mengakhiri lawatan negara selama empat hari di Arab Saudi.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh pada pukul 2.23 petang waktu tempatan.

Sultan Ibrahim yang diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melintasi barisan kawalan kehormatan sebaik sahaja tiba di lapangan terbang.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Riyadh turut diraikan Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh, Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al Saud dan Datuk Bandar Riyadh Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, serta Menteri Pelancongan Kerajaan Arab Saudi, Ahmed Al Khateeb sebagai tanda ucap selamat kepada Seri Paduka Baginda.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Nik Ady Arman Nik Mohd Kamil.

Lawatan itu merupakan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada tahun 1984.

Semasa lawatan negara itu, Yang di-Pertuan Agong diberi sambutan negara di Istana Al-Yamamah.

Sultan Ibrahim turut berangkat melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) dan ibu pejabat Arabian Oud di Riyadh.

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam lawatan ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion bersamaan AS$9.79 bilion dolar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.