KKR perlu rekod semua projek, pantau rapat kontraktor

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Kerja Raya (KKR) menyemak semula keseluruhan senarai projek di bawah kementerian itu dan memastikan setiap projek direkodkan dengan jelas, termasuk status kemajuan, pihak pelaksana dan masalah yang dikenal pasti.

Perdana Menteri menekankan keperluan untuk mengubah budaya kerja supaya pemantauan tidak dilakukan hanya selepas projek siap atau apabila masalah sudah timbul.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.

“Selain tanggungjawab terhadap negeri, kementerian juga perlu menyenaraikan semua projek seperti yang telah ditetapkan. Pastikan setiap projek direkodkan prestasinya dan jangan menunggu sehingga projek siap untuk mengambil tindakan.

“Saya mahu senarai lengkap semua projek,berapa banyak yang sedang berjalan, lokasinya, siapa kontraktornya, serta prestasi mereka. Kita tidak boleh menunggu sehingga projek selesai sebelum menyedari ia lewat,” katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar, mesyuarat pemantauan kini akan dibuat lebih kerap dan secara lebih terperinci, termasuk sesi turun padang bersama Unit terlibat dan agensi pelaksana bagi mengenal pasti kelewatan awal di tapak pembinaan.

“Kita akan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap kontraktor. Jika tidak, mereka cenderung sambil lewa dan melengah-lengahkan pelaksanaan projek mengikut jadual,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan bajet pembangunan tidak akan membawa apa-apa makna jika pelaksanaan masih lambat dan tidak berkesan.

Perdana Menteri berkata fokus tahun 2025–2026 adalah pelaksanaan, bukan lagi perancangan, dan KKR sebagai kementerian pelaksana utama memainkan peranan teras dalam memastikan pembangunan negara dapat dirasai oleh rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.