Kerjasama dagangan Malaysia–Ethiopia strategi tepat tembusi pasaran Afrika

KUALA LUMPUR 21 November – Langkah Malaysia memperluas kerjasama dagangan dengan Ethiopia disifatkan sebagai strategi yang tepat, khususnya dalam usaha menembusi pasaran Afrika yang semakin berkembang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dengan Ethiopia strategi tepat untuk menjadikan Addis Ababa hab transit ke pasaran Afrika Timur dan serantau.
  • Malaysia perlu bergerak berperingkat sambil mengurus risiko politik, ketidakstabilan mata wang dan kos logistik.
  • Hadapi halangan bukan tarif dan persaingan sengit daripada China, Turkiye dan India dalam blok perdagangan itu.
  • Fokus sektor berpotensi: makanan halal, elektrik & elektronik, getah dan produk farmaseutikal untuk tingkatkan daya saing.

Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi berpendapat bahawa kedudukan Ethiopia yang terletak di Afrika Timur membuka peluang besar kepada Malaysia.

Menurut beliau, Addis Ababa boleh menjadi hab transit penting bagi produk Malaysia sebelum memasuki pasaran lebih luas di benua berkenaan.

“Apabila Malaysia menjalin kerjasama rapat dengan Ethiopia, Addis Ababa boleh dimanfaatkan sebagai hab transit bagi produk tempatan memasuki pasaran yang lebih besar.

“Melalui usaha sama atau penubuhan operasi di negara itu, produk Malaysia berpeluang menembusi pasaran serantau yang merangkumi 1.3 bilion pengguna.

“Namun kita perlu realistik Ethiopia masih berdepan risiko politik, ketidakstabilan kadar pertukaran asing serta kos logistik yang berubah-ubah. Selagi dasar belum selaras sepenuhnya, kekangan ini tetap perlu dihadapi,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, halangan bukan tarif serta persaingan ketara daripada China, Turkiye dan India turut menjadi cabaran utama kepada Malaysia.

“Halangan bukan tarif dalam kalangan negara anggota juga dijangka timbul, ditambah pula persaingan sengit daripada China, Turkiye dan India dalam blok berkenaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Nur Surayya menegaskan bahawa Malaysia mampu meraih manfaat besar, namun perlu bergerak secara berperingkat dengan mengambil kira risiko politik dan kewangan yang masih wujud.

Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia perlu fokus beberapa sektor berpotensi tinggi, antaranya sektor makanan halal, yang kini berkembang pesat di Afrika selain menjadi kekuatan utama negara.

Selain itu, sektor tumpuan ialah elektrik dan elektronik, getah, serta produk farmaseutikal bagi meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran benua itu.

Dengan strategi yang lebih tersusun, kerjasama Malaysia–Ethiopia diyakini mampu membuka laluan baharu ke pasaran Afrika dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang penting di rantau tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.