Kerajaan MADANI komited perbaiki prestasi

PUTRAJAYA, 17 Disember – Pentadbiran Kerajaan MADANI komited untuk memperbaiki prestasi melalui konsensus politik, reformasi institusi dan penyampaian dasar yang lebih pantas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pentadbirannya tidak pernah mendakwa diri ‘sempurna’.

Dalam sesi taklimat bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, beliau mengakui bahawa rakyat kini menuntut perubahan lebih cepat selepas tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Tidak ada orang yang sempurna. Tahun pertama okey, tahun kedua, masuk tahun ketiga orang mahu keputusan yang lebih cepat. Kita tidak boleh puas hati,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, kejayaan kerajaan harus bergerak seiring dengan kematangan dalam sebuah gabungan parti politik yang besar, sambil mengingatkan bahawa kegagalan memahami sifat pakatan boleh memusnahkan gabungan dan menjejaskan kestabilan.

“Saya berada dalam ‘koalisi’ (pakatan). Kita perlu membina konsensus, bukan memuaskan semua pihak sehingga menghancurkan kerjasama,” ujar beliau.

Menurut Datuk Seri Anwar, fokus utama adalah memastikan agenda reformasi tidak terhenti akibat perselisihan dalaman, termasuk dalam isu bahasa, budaya politik dan proses membuat keputusan.

Beliau turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh kebebasan media, namun menolak tuduhan bahawa kerajaan mengawal laporan.

“Kita tidak sepatutnya rendah diri soal kebebasan media. Media mesti bebas, tetapi juga bertanggungjawab,” katanya.

Mengenai pencapaian tahun 2025, Perdana Menteri menyenaraikan reformasi parlimen sebagai kejayaan utama, termasuk peranan parlimen dalam pembangunan negara dan pengurusan fiskal.

“Belum pernah parlimen diberi kuasa sehebat ini dalam pembangunan dan tanggungjawab fiskal,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Kementerian Kewangan dan pembabitan pelbagai kementerian dalam merangka dasar ekonomi baharu, termasuk peningkatan pelaburan dan pelaksanaan subsidi bersasar, serta menyifatkan penyasaran subsidi sebagai reformasi terbesar dalam tempoh dua dekad.

“Tiada lagi penyelesaian subsidi seperti 20 tahun lalu. Kita selamatkan wang rakyat dan elak ketirisan,” katanya.

Datuk Seri Anwar juga menyentuh mengenai peningkatan gaji, termasuk inisiatif ‘T-FLEX’ dan sokongan kepada sektor swasta sebagai bukti kemajuan dasar kerajaan.

“Daripada RM1,200 naik RM1,700, ini tidak pernah berlaku,” katanya.

Walaupun mengakui kos sara hidup masih mencabar, beliau menegaskan kerajaan berusaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat, sambil memastikan ekonomi terus berkembang.

Bagi tahun 2026, Perdana Menteri mengakui tahun mendatang tidak mudah, tetapi menegaskan bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang positif, sambil menolak spekulasi pilihan raya awal meskipun pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

“Saya tidak fikir tentang pilihan raya. Fokus saya ialah melaksanakan perubahan dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Dalam taklimat hari ini, Datuk Seri Anwar turut menekankan pencapaian Malaysia dalam platform ASEAN, termasuk kerjasama dengan GCC (Majlis Kerjasama Teluk), China dan rakan serantau lain dalam bidang digital, tenaga, keselamatan dan pelaburan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.