KUALA LUMPUR, 5 DIisember – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurut beliau, walaupun apa pun perbezaan yang pernah wujud, pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar mengingatkan kita akan pengorbanan seorang insan yang tanpa lelah mencurahkan tenaga dan hayatnya untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya sentiasa menghormati allahyarham sebagai seorang veteran politik yang tegas, lantang dan berani dalam perjuangan. Kelantangan beliau juga sentiasa menceriakan suasana di Parlimen, meninggalkan kenangan dan inspirasi buat semua.
“Sama-sama kita doakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Moga keluarga Allahyarham diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Allahyarham Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Pengerusi BN Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 1.46 pagi tadi dipercayai akibat masalah buah pinggang dan jangkitan paru-paru.