LENGGONG, 7 Disember – Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menjayakan inisiatif Kampung Angkat MADANI oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBS) di Kampung Temelong, Lenggong.
Menurut Ketua Pengarah JBS, Azura Abidin, peruntukan itu melibatkan kerja naik taraf infrastruktur bagi pembangunan semula Pulau Temelong sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan baharu.
Beliau berkata, secara keseluruhan lebih 10 skop kerja berjaya disempurnakan hasil peruntukan tersebut, sekali gus menjadi pelaburan signifikan untuk memacu pembangunan komuniti dan sektor pelancongan di Kampung Temelong.
“Yang kami rasakan perlu ditambahbaik ialah, untuk melihat potensi tempat ini pada masa depan, kita perlu membuat pelaburan sedikit supaya kawasan ini dapat diaktifkan lebih baik. Langkah ini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat serta meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam kegiatan rekreasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI JBS di Kampung Temelong, di sini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pemilihan Pulau Temelong sebagai Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada pelancongan desa, rekreasi dan pembangunan belia, yang berpotensi menjadi pemangkin ekonomi daerah.