PUTRAJAYA, 7 Disember – Malaysia mencatat pencapaian penting apabila kadar kemiskinan tegar berjaya diturunkan kepada 0.09 peratus, sekali gus menjadikan negara antara yang terbaik di dunia dalam memerangi kemiskinan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan itu hasil kesungguhan kerajaan memastikan tiada kelompok rakyat yang tercicir melalui perlaksanaan program seperti inisiatif Sejati MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, yang dipantau secara rapat oleh Timbalan Perdana Menteri serta kementerian berkaitan.
“Dari sudut kejayaan, menoktahkan kemiskinan tegar adalah sesuatu yang luar biasa. Malaysia antara negara yang berjaya dalam hal ini. Tidak seperti Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah, menyaksikan isu kemiskinan tegar masih wujud di pinggir-pinggir jalan.
“Kita bersyukur kerana kadar kemiskinan tegar di Malaysia kini hanya tinggal 0.09%,” katanya ketika berucap menutup Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini.
Beliau berkata kerajaan kini memberi keutamaan untuk menyelesaikan baki 0.09 peratus itu sebelum suku pertama 2026 melalui pendekatan yang lebih agresif.
Memperincikannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa pencapaian membasmi kemiskinan tegar berkait rapat dengan prestasi ekonomi negara yang turut menyaksikan pasaran kerja semakin kukuh, termasuk kadar pengangguran yang turun ke sekitar 3 peratus pada September 2025.
Menurut beliau, kestabilan pasaran pekerjaan memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan rakyat, sekali gus membantu usaha kerajaan mengeluarkan lebih banyak keluarga daripada perangkap kemiskinan.
“Kadar pengangguran kita rendah kerana pelaburan meningkat, perdagangan naik 44 peratus, dan beberapa sektor baharu berkembang pesat. Apabila rakyat dapat pekerjaan lebih stabil, kita boleh tarik mereka keluar daripada kemiskinan tegar dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.