Jalan runtuh: Laluan KM11.95 Jalan Gua Musang-Jeli ditutup kepada semua kenderaan

GUA MUSANG, 17 November – Laluan di Kilometer 11.95, Jalan Gua Musang-Jeli yang sebelum ini dibuka sebelah lorong akibat lubang benam kini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, bermula hari ini susulan jalan berkenaan runtuh kira-kira pukul 6.56 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jalan KM11.95 ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan runtuhan.
  • Runtuhan sepanjang 15 meter menyebabkan kedua-dua lorong tidak boleh dilalui.
  • Polis sahkan kejadian disebabkan pergerakan tanah dan runtuhan jalan berturap.
  • JKR umum penutupan bermula 17 November sehingga tarikh diberitahu kemudian.
  • Pengguna dinasihatkan guna laluan alternatif FT08 dan FT66 yang dicadangkan JKR.

Runtuhan membabitkan laluan sepanjang 15 meter menyebabkan kedua-dua lorong tidak boleh dilalui kenderaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata kejadian dipercayai akibat pergerakan tanah dan runtuhan jalan berturap.

Katanya, jalan terbabit terpaksa ditutup kerana sangat berisiko untuk dilalui semua kenderaan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan penutupan jalan itu bermula 17 November sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan.

Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan pihak JKR iaitu FT08 Jalan Gua Musang-Kota Bharu dan FT66 Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.