KUALA SELANGOR, 10 Disember – Pihak yang mendakwa terpaksa membayar wang perlindungan kepada individu tertentu semasa operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini diminta tampil membuat laporan rasmi.
Sebarang tuduhan tanpa laporan sah menyukarkan tindakan lanjut dilaksana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dakwaan peniaga membayar agensi penguat kuasa bukan isu baharu, namun tanpa laporan rasmi, isu berkenaan tidak dapat diselesaikan secara tuntas.
“Sehubungan itu, saya berharap mana-mana pihak yang membuat dakwaan sebegini dapat tampil kepada SPRM. Kita mempunyai undang-undang yang melindungi pemberi maklumat melalui program yang telah banyak kali kita promosikan. Jika mereka hanya bercakap kepada media atau di media sosial, perkara ini tidak akan dapat diselesaikan.
“Kami tidak akan menjalankan penyiasatan sekiranya tiada maklumat yang benar dan tepat disalurkan terus kepada kami,” katanya selepas merasmikan Majlis SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Puncak Alam, Selangor.
Jelas beliau, dakwaan yang hanya dibuat secara umum juga tidak adil kepada agensi penguatkuasa yang dituduh tanpa bukti kukuh. SPRM perlu berlaku adil kepada semua pihak termasuk individu atau agensi yang ditohmah menerima rasuah serta pihak yang didakwa memberi.
Katanya, SPRM tidak akan membuka kertas siasatan tanpa menerima maklumat yang benar dan tepat daripada pengadu.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan baru-baru ini.