Insurans bencana : Perlindungan tambahan, kurang beban kewangan

BAYAN LEPAS, 15 November – Skim perlindungan tambahan bagi insurans bencana dilihat sebagai medium bagi mengurangkan beban kewangan apabila berlaku bencana yang tidak terduga.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, pemegang polisi bagi skim itu masih rendah susulan kekurangan kesedaran masyarakat terhadap perlindungan bencana alam.

“Di Pulau Pinang, kejadian banjir berlaku agak kerap. Namun, bagi polisi insurans kebakaran, kurang daripada 30 peratus mempunyai perlindungan tambahan banjir. Untuk insurans motor pula, lebih buruk, hanya sekitar 12 peratus yang mengambilnya. Hakikatnya, perlindungan tambahan ini tidak mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang, anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini.

Majlis pelancaran karnival disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, bersama Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa ancaman bencana alam tidak hanya menyebabkan kerosakan harta benda, malah turut menjejaskan keselamatan nyawa.

“Masyarakat perlu memahami pilihan perlindungan bencana yang ada, bukan hanya membeli insurans asas. Perlindungan tambahan ini mampu mengurangkan beban kewangan apabila bencana berlaku,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.