Fadillah adakan pertemuan dengan TPM Timor-Leste

PUTRAJAYA, 4 Disember- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan pertemuan empat mata bersama Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay.

Ketibaan Kalbuadi Lay disambut Fadillah di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya kira-kira pukul 2.00 petang tadi.

Turut serta pada pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin serta delegasi dari Timor-Leste.

Pertemuan tersebut berlangsung kira-kira 40 minit, membincangkan status hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste serta isu-isu antarabangsa yang berkepentingan antarabangsa.

Kalbuadi Lay turut menurunkan tandatangan pada buku lawatan dan menghadiahkan kain tenunan yang dijahit dengan nama Fadillah sebagai tanda kenangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.