KUALA LUMPUR, 7 Disember – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan terdapat dua video tular di TikTok yang memaparkan wajah dan suara menyerupai Ketua Pengarah AKPS.
Menerusi satu kenyataan AKPS mengesahkan, video tersebut adalah palsu yang menggunakan teknologi deepfake untuk meniru identiti Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bagi mengelirukan orang ramai.
“Pemilik akaun tidak bertanggungjawab itu telah memuat naik video yang kononnya Ketua Pengarah AKPS menyatakan sokongan terhadap pemberian bantuan tertentu,” ujar agensi tersebut.
AKPS turut menegaskan, video berkenaan tidak pernah dihasilkan dan disahkan oleh agensi ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake yang boleh dimanipulasi untuk tujuan penipuan,” menurut kenyataan itu lagi.
Agensi tersebut memaklumkan, bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai sebarang bentuk bantuan yang disediakan kerajaan, orang ramai juga diminta untuk merujuk kepada saluran media rasmi dan laman sesawang kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.
AKPS memandang serius penyebaran video palsu terbabit dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat.