PUTRAJAYA, 17 Disember– Datuk Seri Arthur Joseph Kurup hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), susulan rombakan kabinet terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
Arthur yang pertama kali melakukan sesi merakam masuk kerja (clock-in) di kementerian itu menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tanggungjawab besar menerajui kementerian strategik berkenaan.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab yang sangat besar dalam kementerian ini,” kata Datuk Seri Arthur kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi hari ini.
Menurut beliau, NRES memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar negara terus terpelihara, khususnya dalam aspek konservasi, perhutanan, pengurusan sumber air serta alam semula jadi.
“Sebagai menteri yang baharu, saya akan memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan seluruh warga kementerian, semua agensi pelaksana termasuk pihak swasta dan aktivis, bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih mesra alam,” jelasnya.
Arthur sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebelum diberikan kepercayaan menerajui NRES dalam rombakan kabinet berkenaan.
Pelantikan beliau turut mengisi portfolio yang sebelum ini diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad.
Berusia 43 tahun, Arthur merupakan Ahli Parlimen Pensiangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook dan bukan asing dalam Jemaah Menteri, sekali gus mengukuhkan lagi barisan Kabinet Kerajaan MADANI.
Timbalannya, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh turut tiba di kementerian untuk memulakan tugas rasmi, hari ini.