KOTA KINABALU, 5 Disember – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di kediaman keluarga allahyarham di Luyang, sebagai tanda penghormatan terakhir terhadap tokoh politik yang disifatkannya sebagai pemimpin banyak berjasa kepada negeri.
Ketika ditemui media, Datuk Seri Hajiji menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan negeri serta keluarga beliau, sambil menyifatkan pemergian allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Sabah, khususnya di kawasan yang pernah diwakilinya.
“Sebagai sahabat lama, kita amat bersimpati dan mengingati beliau. Baru-baru ini kita dengar beliau sakit dan kini telah kembali. Saya amat sedih dan bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga”, katanya.
Datuk Seri Hajiji turut melahirkan rasa dukacita yang mendalam, menyatakan bahawa jasa serta sumbangan allahyarham dalam pembangunan negeri akan terus dikenang.
Turut hadir, ADUN Sukau, Jafry Arifin, ADUN Kawang, Datuk Ghulamhaidar Yusof Khan, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya serta Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.