KLUANG, 7 Disember – Pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang mula disalurkan bulan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan, dan bukannya sekadar bantuan bermusim.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, sumbangan seumpama ini pernah dilaksanakan dan akan terus diperluas selaras dengan kekuatan ekonomi negeri.
Pelaksanaan BKJ fasa kedua dijadualkan pada Februari depan, sebagai kesinambungan penyerahan bantuan sedia ada.
“Usaha-usaha ini akan kita teruskan supaya rakyat dapat merasai limpahan ekonomi yang sedang giat kita laksanakan di Negeri Johor. Apabila ekonomi berkembang, setiap ringgit dan sen akan kita pulangkan kepada rakyat serta Bangsa Johor yang kita cintai,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor Fasa Satu DUN Machap, di sini.
Inisiatif dalam Belanjawan Johor 2026 itu merangkumi 23 program bantuan, khusus untuk membantu lebih 355,000 penduduk pelbagai peringkat.