KUALA LUMPUR, 11 Disember – Penjelasan terperinci mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) membuktikan bahawa kedaulatan negara tetap terpelihara kerana perjanjian itu telah dirangka dengan teliti.
Kesimpulan tersebut dicapai selepas tiga tokoh keselamatan negara iaitu Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) Md Shah Yassin hadir ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mendapatkan taklimat berhubung isu berkenaan.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin berkata, perjanjian ART hanya melibatkan kerjasama perdagangan timbal balik dan bukan komitmen wajib yang mengikat Malaysia.
“Perjanjian ART hanya melibatkan kerjasama perdagangan timbal balas dan bukan komitmen wajib yang mengikat Malaysia.
“Semua dakwaan bahawa Malaysia dijajah atau terikat adalah tidak benar, kerana setiap keputusan dalam ART tertakluk sepenuhnya kepada kepentingan negara,” jelas beliau ketika ditemui pemberita hari ini.
Selain itu, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, menegaskan bahawa ART sendiri mengandungi beberapa unsur perlindungan atau safety net, seperti nilai bersama, kedaulatan bersama serta kemakmuran ekonomi yang digariskan dalam preamble perjanjian tersebut.
“ART sendiri mengandungi jaringan keselataman dalam klausa perjanjian yang menegaskan kedaulatan bersama, nilai kebersamaan, serta jaminan bahawa keputusan akhir tetap berada di tangan Malaysia.
“Dari sudut ketenteraan pula ia menepis tanggapan bahawa ART memaksa Malaysia membeli sistem pertahanan Amerika Syarikat,” katanya.
Malaysia kekal bebas membeli aset pertahanan dari mana-mana negara dengan konsultasi, bukan kebenaran wajib sekali gus menolak dakwaan bahawa perjanjian ini ‘mengikat’ Malaysia.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, juga memaklumkan ART sebagai peluang yang memberi keuntungan timbal balik kepada kedua-dua negara.
“Daripada pengenalan pun kita nampak situasi menang-menang akan berlaku. Malaysia ada keuntungan, pihak sana pun ada keuntungan. Tidak ada pun negara kita dijual atau terikat dalam perjanjian ini,” katanya.
Penjelasan teknikal MITI turut mengesahkan bahawa ART tidak menyentuh asas kedaulatan atau kebebasan Malaysia sebagai negara berdaulat.
Dalam pada itu Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM), Md Shah Yassin turut mengesahkan bahawa ART membawa manfaat ekonomi yang jelas tanpa mengorbankan kedaulatan atau kebebasan Malaysia.
“Perjanjian ini memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. Malaysia ada keuntungan, pihak sana pun ada keuntungan. Tidak ada pun negara kita dijual atau terikat dalam perjanjian ini,” katanya.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga tokoh sepakat bahawa ART membuka peluang ekonomi, memberikan kepastian pasaran, serta merangsang pertumbuhan industri tanpa mengorbankan kedaulatan, keselamatan atau kepentingan negara.