AI Malaysia Expo 2026 transisi transformasi digital negara

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Malaysia bersedia melangkah ke fasa baharu transformasi digital menerusi penganjuran AI Malaysia Expo 2026, sebuah platform nasional yang menyatukan kementerian, agensi kerajaan, pemain industri, penyedia teknologi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bawah satu ekosistem padu.

Menurut Naib Presiden Kanan Industri & Ekosistem Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Gopi Ganesalingam, Malaysia kini berada pada fasa penting dalam perjalanan digital, ketika dunia menyaksikan kepesatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentas pelbagai sektor.

“AI bukan lagi konsep abstrak. Ia adalah satu alat produktiviti yang membentuk dan mentakrif semula keperluan bakat serta mengubah cara perniagaan, terutamanya PKS, bersaing dan berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran awal AI Malaysia Expo 2026 di ibu negara yang akan berlangsung pada 18 hingga Ogos tahun depan.

Kejayaan pembangunan ekosistem AI negara memerlukan usaha bersepadu antara kerajaan, industri, akademia, pelabur dan masyarakat.

Setiap kementerian dan agensi memiliki data serta mandat dasar tersendiri, dan expo ini akan menjadi platform kolaboratif untuk menyelaras visi serta meneroka penyelesaian AI yang sesuai.

Bagaimanapun, PKS yang mewakili 98 peratus perniagaan di Malaysia berpeluang mengguna pakai penyelesaian AI lebih praktikal, mampu milik dan segera dilaksanakan.

“Kita mahu kementerian dan agensi mengguna pakai penyelesaian Malaysia di mana sesuai, dan kita mahu PKS memanfaatkan inovasi yang dihasilkan rakyat Malaysia,” katanya.

Eksposisi itu disasar menjadi pemangkin kepada projek perintis dunia sebenar dalam sektor awam dan swasta termasuk automasi pertanian, pengoptimuman rantaian bekalan dan peningkatan produktiviti PKS.

Dalam usaha memperkukuh bakat, ekspo tersebut akan memberi tumpuan kepada set kemahiran baharu, peluang latihan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja melalui kerjasama dengan universiti serta penyedia latihan.

Beliau turut mengingatkan bahawa negara-negara serantau sedang mempercepat peraturan, pelaburan dan pembangunan bakat dalam teknologi AI.

AI Malaysia Expo 2026 dijangka memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai hab serantau untuk penerimaan, pelaburan dan inovasi AI, selaras dengan aspirasi negara menuju 2026 dan pada tahun mendatang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.