KUCHING, 6 Disember – Tujuh lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap kejadian air pasang di Pantai Trombol, Kuching petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi kenyataan, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.23 petang.
Tujuh individu tersebut dikatakan memasuki kawasan pantai menggunakan empat motosikal dan tidak menyedari paras air laut naik hingga menenggelamkan laluan keluar.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya digerakkan ke lokasi mendapati jalan masuk telah dinaiki air dan tidak dapat dilalui.
Pihak bomba mengarahkan mereka bergerak ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan risiko keselamatan.
Dua orang berjaya keluar sendiri pukul 6.14 petang, manakala lima lagi berjaya dibawa keluar selepas air mula surut. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.