PUTRAJAYA, 7 Disember – Seramai 3,000 sukarelawan Sahabat Penggerak MADANI dilancarkan hari ini bersempena Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku, bagi memperkukuh jaringan komunikasi kerajaan dengan rakyat melalui program lapangan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sukarelawan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi memperluas jangkauan agenda Malaysia MADANI.
“Setakat Disember 2025, kita telah mengumpulkan 3,000 sukarelawan sebagai Sahabat Penggerak MADANI, dan sebahagiannya turut hadir di sini. Terima kasih atas kesungguhan dan tanggungjawab mereka.
“Mereka inilah yang menyampaikan naratif kenegaraan serta berperanan sebagai penceramah, fasilitator dan jurulatih.
“Mereka adalah suara dan tenaga yang menyampaikan mesej MADANI ke akar umbi. Mereka membantu merapatkan jarak antara dasar kerajaan dan kefahaman rakyat,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini, hari ini.
Kumpulan sukarelawan itu turut menerima latihan rasmi melalui Akademi Kenegaraan Malaysia serta akses kepada manfaat rakan strategik seperti Mydin dan Hotel Seri Malaysia bagi menyokong pelaksanaan tugas mereka.