SAUDARA PENGARANG
Pernah rasa sibuk sepanjang hari, tetapi kerja tetap tak siap? Selalunya bukan sebab kerja terlalu banyak, tetapi kerana kita cuba memastikan semuanya dilakukan serentak. Ramai sudah terbiasa membalas mesej sambil membuka emel, menaip laporan sambil makan, dan TikTok pula berjalan di sebelah.
Semua itu memberi rasa seolah-olah kita produktif, tetapi hasilnya jarang sepadan. Tumpuan mudah teralih dan kerja yang ringkas pun mengambil masa lebih lama daripada sepatutnya.
Menariknya, dunia pengaturcaraan sebenarnya sudah lama tunjukkan cara kerja yang lebih teratur. Pengatur cara tidak memasukkan terlalu banyak langkah dalam satu fungsi. Mereka pecahkan tugasan kepada bahagian kecil dan selesaikan satu demi satu supaya semuanya lebih mudah diurus. Kalau pendekatan ini dibawa ke kehidupan harian, kerja terasa lebih lancar dan kepala kurang serabut.
Bagaimana Fokus Terganggu, Apa Kita Boleh Tiru
Otak tidak bergerak antara tugasan tanpa kesan. Setiap kali perhatian berpindah, otak perlu menyusun semula tumpuan. Proses yang kecil ini mengambil tenaga mental dan melemahkan rentak fokus. Tugasan yang perlukan perhatian mendalam seperti membaca atau menyusun data mudah terganggu apabila diselitkan dengan gangguan lain. Jika gangguan berlaku berulang kali, tumpuan menjadi kabur dan masa menyiapkan kerja semakin panjang.
Situasi ini seakan kaedah pengatur cara membina kod. Dalam pengaturcaraan, satu fungsi perlu ada satu tujuan. Jika ia dipenuhi arahan yang tidak berkaitan, kod menjadi perlahan untuk disemak dan mudah tersilap. Pengatur cara mengatasi masalah ini dengan memecahkan isu besar kepada modul yang lebih kecil dan jelas supaya setiap bahagian bergerak lancar.
Pendekatan ini sesuai dipindahkan ke kehidupan seharian. Apabila satu tugasan diberi perhatian penuh, kerja mengalir dengan lebih lancar dan fikiran terasa ringan. Tumpuan yang jelas membantu seseorang menyiapkan kerja dengan lebih stabil berbanding mencampurkan tugasan dalam satu masa. Prinsip yang sama yang menjadikan kod lebih kemas turut membantu menjadikan hari lebih teratur.
Fokus Kepada Objektif dan Penyelesaian
Tumpuan tunggal selalunya lebih stabil, tetapi ada waktu melakukan dua kerja serentak masih berguna. Tugasan ringan yang tidak menuntut perhatian mendalam, seperti menunggu fail dimuat naik sambil menyusun meja atau mendengar podcast semasa kerja rutin, tidak banyak mengganggu tumpuan. Aktiviti ini menggunakan tenaga mental yang rendah. Yang perlu dielakkan ialah menggabungkan dua tugasan yang kedua-duanya perlukan pemikiran mendalam.
Apabila perhatian diberikan sepenuhnya pada satu tugasan, langkah kerja bergerak dengan lebih teratur. Seseorang dapat melihat perkembangan dengan jelas dan terasa lebih bermotivasi apabila satu demi satu tugasan disiapkan.
Dalam jangka panjang, cara ini mengurangkan serabut di kepala dan membuka ruang untuk menghasilkan kerja yang lebih kemas. Tumpuan tunggal bukan sekadar membantu menyiapkan kerja dengan lebih cepat, tetapi turut menjadikan minda lebih stabil sepanjang hari.
Cara Mudah Untuk Kekal Fokus
Beberapa amalan mudah boleh membantu mengekalkan tumpuan tanpa perlu mengubah rutin harian. Kerja besar boleh dipecahkan kepada bahagian kecil supaya langkahnya terasa ringan dan mudah disiapkan. Tab dan aplikasi yang tidak berkaitan wajar ditutup agar tumpuan tidak lari ke arah lain.
Masa fokus yang pendek, sekitar 20 minit atau 25 minit, sudah cukup untuk memulakan rentak kerja sebelum mengambil rehat ringkas. Meletakkan telefon jauh daripada pandangan pula membantu mengurangkan gangguan kecil yang sering memecah tumpuan. Senarai harian memberi gambaran tugasan yang perlu disiapkan mengikut keutamaan dan setiap tanda siap memberi dorongan untuk terus bergerak.
Aplikasi tumpuan turut membantu. Teknik Pomodoro boleh digunakan melalui aplikasi seperti Focus To-Do, Forest, Tide dan Minimalist. Aplikasi ini menyediakan kiraan masa, rehat terancang dan suasana kerja yang lebih terkawal. Pengguna boleh memilih gaya kiraan masa yang selesa untuk mengekalkan tumpuan tanpa tekanan berlebihan.
Rahsia Dunia Kod Untuk Hari Lebih Teratur
Pengaturcaraan bukan sekadar menulis kod. Ia mengajar cara menyusun langkah penyelesaian. Setiap baris kod ada tujuan dan modul disusun mengikut keperluan. Prinsip ini boleh dijadikan rujukan dalam kehidupan seharian.
Apabila seseorang meniru cara pengatur cara mengurus kod yang jelas, teratur dan tidak bercampur, kerja harian menjadi lebih mudah dikawal. Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menjadikan kerja terlalu ketat, tetapi untuk memberi laluan yang lebih stabil supaya hari tidak dipenuhi tugasan yang bercampur-campur.
Gaya kerja yang menumpukan pada satu tugasan selalunya memberi hasil lebih baik berbanding cuba menyiapkan banyak perkara pada masa sama. Pengaturcaraan menunjukkan bahawa susunan yang jelas dan tujuan yang tepat menjadikan sesuatu kerja lebih mudah dibaiki dan diperbaiki.
Prinsip ini boleh dipindahkan ke kehidupan harian. Apabila seseorang menyusun kerja dengan ringkas dan memberi ruang pada tumpuan tunggal, hasilnya lebih memadai dan fikiran lebih tenang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nurul Nadirah Zakaria
Pensyarah
Jabatan Pengurusan dan Informasi
Pusat Matrikulasi
Universiti Islam Selangor