Kepengerusian ASEAN 2025, perkukuh keyakinan komuniti antarabangsa kepada Malaysia

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepimpinan Malaysia memupuk keyakinan antarabangsa terhadap ASEAN melalui kejayaan mempengerusikan mesyuarat 2025.
  • Kehadiran pemimpin utama dunia mengukuhkan kredibiliti ASEAN dan membuka peluang rundingan perdagangan.
  • Isu keselamatan serantau, Laut China Selatan, Rohingya dan Myanmar dibincangkan secara konstruktif.
  • Malaysia berjaya menyelesaikan beberapa isu ASEAN, meningkatkan reputasi negara di pentas antarabangsa.

Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada negara Filipina pada 28 Oktober 2025, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan Tukul ASEAN kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr. bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre.

Penyerahan ini sekali gus menamatkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang diterajui sejak dari awal tahun 2025 lagi. Kepimpinan Malaysia dalam menerajui ASEAN menunjukkan impak yang besar terhadap hubungan diplomatik Malaysia serta ASEAN terhadap komuniti antarabangsa.

Dapat disimpulkan, keyakinan komuniti antarabangsa terhadap ASEAN sebagai salah sebuah organisasi antarabangsa di kawasan Timur Jauh semakin meningkat, apabila Mesyuarat ASEAN pada kali ini telah dihadiri oleh beberapa pemimpin utama dunia.

Antaranya ialah Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Timbalan Perdana Menteri China, Presiden Korea Selatan, Perdana Menteri Jepun, Perdana Menteri Australia, Perdana Menteri New Zealand serta ketua-ketua negara yang berpengaruh.

Paling tidak dijangka, kedatangan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat ASEAN serta majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata di antara negara Thailand dan Kemboja, dilihat sebagai satu kejutan besar kepada Malaysia.

Kali terakhir kedatangan Presiden Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur adalah pada tahun 2014 yang dihadiri oleh Presiden Barack Obama. Kehadiran Presiden Amerika Syarikat serta negara-negara kuasa ekonomi dunia ke Kuala Lumpur dijangka membuka peluang kepada Malaysia serta negara-negara ASEAN untuk memperbaharui perjanjian perdagangan yang telah sedia ada.

Pada masa yang sama, peluang ini turut diambil oleh Malaysia dan ASEAN untuk membincangkan isu-isu keselamatan serantau dan perubahan landskap geopolitik di rantau Asia Tenggara. Ini melibatkan perbincangan berkaitan isu keselamatan di Laut China Selatan, isu kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya serta pemerintahan junta di negara Myanmar.

Turut dibincangkan adalah isu kemiskinan dalam negara anggota ASEAN, isu ekonomi dan perdagangan, serta perbincangan melibatkan masa hadapan negara Timur Leste yang diberikan status keanggotaan penuh untuk menjadi ahli ke-11 dalam pertubuhan negara ASEAN.

Secara umum, kepengerusian Malaysia pada kali ini amat terserlah apabila berjaya menyelesaikan beberapa isu-isu dan permasalahan yang berlaku dalam negara ASEAN. Ini secara tidak langsung mengetengahkan ASEAN sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang masih kekal releven dalam konteks politik, ekonomi dan sosial di persada antarabangsa.

Tidak mudah untuk memikul tanggungjawab besar dalam mempengerusikan mesyuarat ASEAN. Bagaimanapun, Malaysia di anggap berjaya pada kali ini. Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, tetapi meningkatkan lagi keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia, yang dilihat kecil di atas peta, akan tetapi besar di mata komuniti antarabangsa.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Malaysia dalam memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. AMER FAWWAZ MOHAMAD YASID
Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid
Pensyarah Kanan Hubungan Antarabangsa
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.