SAUDARA PENGARANG
Dalam usaha membentuk masa depan negara yang berdaya saing, berakhlak dan berpaksikan nilai, Malaysia menekankan prinsip Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dengan gagasan Malaysia MADANI yang berasaskan kemanusiaan dan keseimbangan.
Realitinya, cabaran terbesar dalam melahirkan generasi MADANI hari ini bukan sekadar isu akses kepada pendidikan, tetapi lambakan kandungan digital yang tidak terkawal dan sering mempengaruhi tingkah laku serta emosi kanak-kanak.
Kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia tanpa sempadan; tablet dan telefon pintar seakan menjadi guru baharu. Di ruang maya inilah terbentuk nilai, emosi dan cara mereka memahami dunia sekeliling.
Namun, tanpa panduan dan literasi media yang mencukupi, mereka mudah terdedah kepada kandungan yang kasar, ganas, atau melampau, melalui bentuk permainan video, tontonan dalam talian, mahupun media sosial. Situasi ini menimbulkan persoalan penting; di manakah garis pemisah antara hiburan dan pendidikan dalam dunia digital anak-anak kita?
Literasi Media dan Tanggungjawab Ibu Bapa
Dalam ekosistem digital hari ini, ibu bapa bukan sekadar pelindung keselamatan anak-anak, tetapi juga pembentuk sahsiah mereka. Ramai beranggapan bahawa sekadar mengehadkan masa skrin sudah memadai, hakikatnya pengawalan kandungan jauh lebih penting.
Literasi media perlu bermula di rumah; iaitu ibu bapa perlu peka dan memahami apa yang ditonton, dimainkan dan ditiru oleh anak-anak. Kanak-kanak secara semula jadi cenderung meniru apa yang mereka lihat dan dengar, termasuk daripada kandungan digital.
Jika terdedah kepada unsur negatif seperti kekerasan atau bahasa kesat, mereka berisiko membentuk tabiat komunikasi yang kasar, hilang empati dan sukar mengawal emosi.
Literasi media perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kompetensi abad ke-21, bukan sekadar memahami teknologi, tetapi memiliki keupayaan menapis maklumat dan mengenal pasti mesej yang membentuk pemikiran serta tingkah laku.
Dalam hal ini, ibu bapa wajar menjadi teladan. Disiplin dan sikap beretika ketika berinteraksi di ruang digital akan memberi contoh yang jelas kepada anak-anak. Maka, tanggungjawab ini bukan untuk “menyekat” dunia digital, tetapi mendidik anak-anak menjadi pengguna media yang bijak, berakhlak dan berfikiran kritis.
Rancangan Kanak-kanak Selamat dan Mendidik
Rancangan kanak-kanak berperanan penting dalam perkembangan menyeluruh dari segi kognitif, emosi dan sosial. Media berfungsi sebagai ejen sosialisasi yang membentuk pemahaman kanak-kanak terhadap nilai, budaya dan norma sejak usia awal.
Kandungan yang bersifat pendidikan mampu meningkatkan tumpuan, daya ingatan dan kefahaman sosial. Maka mesej perlu disampaikan melalui jalan cerita yang menyeronokkan dan mudah difahami.
Selain memberi hiburan, kandungan digital yang dirancang dengan baik dapat memupuk empati, mengasah kawalan emosi dan menggalakkan tingkah laku positif.
Tanpa pemantauan, kanak-kanak boleh terdedah kepada kandungan yang bercanggah dengan budaya dan nilai tempatan. Termasuklah paparan kekerasan, stereotaip atau pergaulan bebas yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi serta identiti mereka.
Penghasilan rancangan kanak-kanak yang selamat dan mendidik perlu mengekalkan keseimbangan antara hiburan dan nilai. Kandungan yang dihasilkan harus selaras dengan prinsip moral dan etika yang diterima secara universal, agar ia bukan sahaja menghibur tetapi melindungi minda dan emosi anak-anak supaya mereka membesar dalam persekitaran digital yang selamat, beretika dan bermaruah.
Bahaya Halus Kandungan Tanpa Tapisan
Di sebalik wajah comel animasi dan permainan digital, tersembunyi mesej halus yang kadang-kala bercanggah dengan nilai budaya dan norma masyarakat. Ada kandungan yang menormalisasi kekerasan, kebebasan tanpa batas, atau gaya hidup yang tidak sesuai untuk pembentukan sahsiah anak-anak.
Lebih membimbangkan, sebahagian permainan dalam talian kini direka dengan elemen “ganjaran segera” yang boleh menimbulkan ketagihan, menjadikan anak-anak lebih impulsif dan kurang sabar. Budaya digital yang mengutamakan kepuasan pantas ini boleh melemahkan kawalan emosi dan daya tahan mereka.
Tanpa panduan yang jelas, dunia digital berpotensi menjadi ruang pembentukan minda yang berbahaya, bukan secara terang-terangan, tetapi melalui pengaruh halus yang sukar disedari.
Ekosistem Media Halal Satu Keperluan
Dalam suasana ini, konsep media halal muncul sebagai keperluan yang menggabungkan hiburan dan pendidikan tanpa mengorbankan nilai moral. Media halal bukan sekadar bebas daripada unsur lucah atau ganas, tetapi turut menekankan prinsip kesederhanaan, mesej positif dan kandungan yang membentuk sahsiah, baik dan selamat.
Pendekatan ini membuktikan bahawa hiburan dan nilai moral boleh berjalan seiring, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat kemuliaan insan.
Beberapa platform kandungan Islamik, termasuk aplikasi interaktif yang menawarkan rancangan berunsur pendidikan dan hiburan, kini membantu ibu bapa menapis kandungan digital secara lebih selamat.
Selain menyokong pembelajaran formal, media halal juga memperkukuh pendidikan tidak formal dengan menyemai nilai moral, empati dan disiplin melalui kandungan digital. Ini menjadikan media bukan sekadar alat hiburan, tetapi sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang membina minda dan emosi anak-anak.
Benteng Digital untuk Generasi Masa Depan
Masyarakat dan penggiat media turut memikul tanggungjawab besar. Dalam era digital, setiap individu berpotensi menjadi pencipta kandungan. Maka etika media harus dilihat sebagai prinsip sejagat yang menekankan kebenaran, tanggungjawab sosial dan kesejahteraan.
Sebagai pengguna, kita harus berfikir sebelum berkongsi. Sebagai pencipta kandungan, mesej yang dihasilkan bukan sekadar menarik perhatian, tetapi membina jiwa. Inilah semangat Malaysia Madani, membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan seimbang antara teknologi dan nilai kemanusiaan.
Anak-anak kita tidak boleh diasingkan daripada dunia digital, tetapi mereka perlu diperisai dengan adab, kebijaksanaan dan literasi media. Media halal bukan sekadar konsep baharu, tetapi satu keperluan untuk memastikan generasi Madani membesar dalam ekosistem digital yang sihat dan beretika.
Jika SDG 4 menuntut pendidikan berkualiti untuk semua, maka media halal ialah pelengkapnya dengan menjadikan dunia digital sebagai ruang pembelajaran yang membentuk minda dan jiwa. Dalam dunia tanpa sempadan, inilah benteng yang harus kita bina bersama iaitu benteng nilai, iman dan ilmu untuk generasi masa depan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Wawarah Saidpudin
Pensyarah Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: wawarah@uis.edu.my