Shamsul Iskandar didakwa rasuah RM176,829.03 berkaitan lesen mineral Sabah

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 50, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Sementara itu Albert Tei, 37, didakwa atas empat tuduhan memberi suapan RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Bagaimanapun Albert Tei mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Dalam pada itu kedua-dua akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat ini, masing-masing dengan satu pertuduhan.

Pertuduhan membabitkan Seksyen 17(a) Akta SPRM bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan, manakala siasatan terhadap kedua-duanya dibuka bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Terdahulu Shamsul Iskandar dan Albert Tei tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.00 pagi tadi dibawa menaiki kenderaaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan telah lengkap dan mendapat arahan untuk mendakwa kedua-dua individu berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.